Sunday, February 19, 2017

Busana Bona Fida di Sarang Art Hub dan majlis Persatuan Sejarah Malaysia

Salam semua. Harap tidak terlalu lewat untuk mengucapkan selamat tahun baru 2017. Sejak menulis artikel Sedikit gambar daripada Kosmo pada 13 Disember tahun lepas baru kini timbul rasa untuk mengemaskinikan blogspot. Bukan sebab tiada bahan cerita. Cuma tidak rajin menulis seperti suami saya yang istiqamah berkongsi rasa dalam beberapa blogspot-blogspot milik beliau terutama CATATAN SI MERAH SILU

Sebut pasal suami beliau sentiasa menyokong usaha saya menyediakan busana tradisional Melayu melalui jenama Bona Fida yang merupakan ilham beliau untuk saya. Rujuk artikel penerangan Kenapa Bona Fida?. Melalui jaringan kenalan dan kawan-kawannya jugalah Bona Fida dapat digerakkan hingga sampai ke tangan orang-orang ternama. Setelah lebih 3 bulan tidak menulis di blogspot ini ada satu cerita berkaitan mahu dikongsikan.


Ini adalah gambar suami saya bersama beberapa orang kawan bertandang di tempat rehat dan makan milik sutradara filem terkenal tanah air, abang Mamat Khalid. Nama tempat itu adalah Sarang Art Hub. Dahulunya ia adalah rest house atau rumah rehat Tanjung Malim. Saya ambil gambar ini daripada artikel bertajuk Melatih bakal guru di UPSI sebelum bersembang melepasi langit ke-7 di Sarang Art Hub yang suami tulis di blogspot beliau 4 bulan lalu. 

Suami saya adalah seorang yang berani dan peramah lalu memiliki jaringan kenalan yang luas. Antara lapisan masyarakat yang beliau campuri adalah golongan selebriti dan artis iaitu sejak zaman remaja lagi. Apa lagi apabila menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001. Hampir setiap hari beliau menghadiri majlis melibatkan orang ternama termasuk menteri malah perdana menteri dan ketua-ketua negara. Cuma Mamat ini baru dikenalinya 4 tahun lalu apabila pengarah filem tersebut menghubunginya untuk meminta pandangan dan buah fikiran tentang elemen-elemen sejarah yang boleh dimasukkan ke dalam filem arahannya. 

Sejak itu mereka sering juga berhubung bercerita tentang sejarah, seni dan sebagainya. Bermula pada majlis open house raya di Sarang Art Hub sekitar bulan 7 atau 8 tahun lepas pula saya sering menemani suami berjumpa Mamat di sana, beberapa kali kami datang berpakaian busana tradisional Melayu. Gambar di atas diambil tidak lama selepas saya menyiapkan baju baru untuk suami. Tidak lama kemudian Mamat menyatakan keinginan mahu mendapatkan busana lebih kurang seperti dipakai itu.


Sekitar pertengahan bulan 12 kami datang ke Sarang Art Hub dengan niat mahu menunaikan permintaan Mamat lalu mengambil ukuran. Tanpa disangka beliau meminta saya turut mengambil ukuran untuk anak-anaknya juga para pekerja. Mamat menempah 7 pasang busana untuk dijadikan pakaian seragam atau uniform hari Jumaat. Beliau turut menempah 4 pasang busana untuk pakaian hari raya. 


Kami kemudian datang lagi untuk menyemak ukuran agar tidak ada yang tersilap. Kami juga telah meminta setiap orang menyediakan baju sample yang dirasakan cukup selesa. Apa-apa perubahan, tambahan, panjang lengan busana dan sebagainya boleh dibuat dengan baju sample menjadi rujukan. Dua minggu lalu kami datang ke Sarang Art Hub untuk menyerahkan pakaian yang siap. Terus dipakai dan dicuba oleh pekerja Mamat.



Kelihatan Mamat bersama seorang anak yang selalu membantu beliau bekerja di bahagian makan minum. Gambar ini diambil pada jam 2.02 awal pagi Ahad 5 Februari. Sebelum itu ada satu acara filem diadakan di sana. Selesai segala urusan baru ada kelapangan untuk busana dipakai dan dicuba.


 Tengok-tengok ada surprise sambutan hari jadi untuk anak tersebut. 


Pekerja lain yang telah dianggap sebagai keluarga turut menyambut, masing-masing memakai busana Bona Fida yang baru diterima daripada saya.


Seorang lagi anak Mamat mencuba baju raya beliau. Saya mencadangkan agar dibuat baju yang lebih longgar tetapi beliau memilih saiz berdasarkan baju sample selesa beliau. Anak yang ini selalu bermain dram untuk live band di Sarang Art Hub.



Di sini kelihatan sepasang baju untuk seorang pekerja yang balik kampung. Di kanan adalah baju raya Mamat.


Enam hari kemudian iaitu pada Jumaat malam Sabtu lepas Mamat telah berkongsi gambar ini di Facebook beliau. Ternyata busana Bona telah diperkenalan sebagai baju seragam Sarang Art Hub bermula Jumaat itu.


Ini pula baju yang ditempah oleh ahli akademik ternama Dato' Dr Othman Yatim atau kami panggil Prof Othman. Tempahan dibuat sehari dua selepas busana untuk Mamat Khalid dan orang-orangnya selamat dihantar ke Sarang Art Hub. Suami menghantar baju ini ke kediaman Othman Khamis lepas. Beliau mahu memakainya pada satu majlis hari Sabtu iaitu pada semalam 18 Februari 2017.


Alhamdulillah tempahan dapat disiapkan dalam tempoh 10-11 hari. Pagi semalam saya menemani suami ke majlis tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).


Prof Othman telah diminta bercakap tentang allayarham Dato' Shahrum Yob, mantan Ketua Pengarah Muzium Negara (1972-1991).  Majlis adalah untuk anugerah felo PSM kepada allayarham juga seorang lagi orang lama.


Othman sendiri telah menerima anugerah felo PSM pada tahun 2014. Beliau adalah antara sedikit ahli akademik berwibawa tinggi yang berani berpakaian begini di majlis umum.



Antara lelaki dewasa yang ada di sana cuma suami saya sahaja memakai busana tradisional Melayu selain Othman. Untuk makluman ramai hadirin merupakan ahli akademik ternama atau/juga mantan pegawai tinggi kerajaan dan tokoh budayawan. Turut kelihatan dalam gambar ini adalah seorang kawan kami berserta tokoh budayawan Pahang. Dato' Aripin Said.



Suami tentunya memakai busana Bona Fida gubahan saya. Kelihatan beliau bersama para penyokong RUU (Rang Undang-undang 355) di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Ketika ini kami baru lepas bersiar-siar di Masjid India lalu terserempak dengan mereka sedang berarak berjalan  kaki menuju ke Padang Merbok. Di sana ada perhimpunan raksaksa bagi menyatakan sokongan atas usaha memperkasakan RUU 355 yang memberikan lebih banyak kuasa kepada institusi mahkamah syariah.


Ini pula di komplek membeli-belah Sogo. Ada orang ajak bergambar. Kelihatan saya dan anak-anak turut memakai busana Bona Fida walaupun kurang lengkap. Sepanjang kami berjalan kaki di sekitar Jalan TAR itu ada sahaja orang ajak bergambar dengan suami. 

Baguslah, Semoga semakin ramai tergerak untuk memakai busana tradisional Melayu. Sukacita dimaklumkan ini adalah artikel ke-13 di blogspot ini. Saya sebut ini kerana 13 adalah sebahagian daripada nombor istimewa buat saya dan suami. Rujuk artikel Langkah 131 dan 313 untuk jenama Bona Fida. Semoga cerita ini menjadi penanda buat satu kemajuan yang tidak disangka-sangka.