Monday, July 11, 2016

Gaya Bona Fida untuk minggu pertama Syawal 1437 Hijriah

Lima hari lalu iaitu pada malam hari raya pertama saya telah membuat artikel Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri tetapi menggunakan gambar-gambar yang memperagakan busana tradisional Melayu daripada perayaan tahun lepas. Sekarang bolehlah ditunjukkan gambar-gambar daripada perayaan tahun ini...



Ini gambar suami saya di hadapan mimbar Masjid Jamek Muar selepas selesai bersolat sunat raya pagi Rabu. Pakaian yang dikenakan saya pilih baju dan seluar putih dengan sampin dan tanjak berwarna merah. Pakaian serupa pernah digayakan oleh suami ketika menganjurkan acara ke-16 kelolaan NGO kami yang bernama HIKMAH. Cuma ketika itu ia dipakai bersama baju sikap iaitu serupa vest. Lihat artikel Acara keenam belas HIKMAH di University of Life @ rumah S.H.Alattas, Janda Baik 30-31 Jan 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Saya pula mengenakan baju baru tetapi menggunakan kain yang sudah lama disimpan oleh bapa mertua. Beliau membelinya di Bangkok, Thailand ketika berkhursus lama di sana sekitar tahun 1980an. Tahu-tahu saja satu hari kain dihadiahkan kepada saya. Saya pun menjadikan ia baju kurung Melayu. Alhamdulillah siap untuk dipakai pada pertengahan bulan Ramadhan.



Bergambar bersama anak beranak. Anak-anak kecil kami Rasyid dan Johan menggayakan kombinasi baju yang turut dipadankan atas nama Bona Fida. Tanjak karangan saudara Hamzah @ Seri Maulid dihasilkan atas jenama kami setelah mencapai satu persetujuan. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Langkah 131 dan 313 untuk jenama Bona Fida.


Hari kedua Syawal baru kami memperagakan pakaian sambil berziarah ke rumah saudara mara dan sahabat handai.






Baju suami menggunakan songket Sarawak adalah antara busana terbaru kami yang dapat disiapkan pada pertengahan bulan Ramadhan, Dipadankan dengan seluar silat hitam sedikit berhias yang saya jahit dan siapkan penghujung tahun lepas.


Kain songket serupa pula saya pakai di bawah, dipadankan dengan baju merah jambu.


Bergambar bersama sepupu suami dan isterinya Suraya, dahulu DJ di stesyen radio Hot FM, kini bersama Suria FM. Beliau yang mahu kami bergambar sama. Katanya untuk dipromosikan. saya tak pasti apakah di Facebook, Instagram atau mana-mana wadah lain.




Pakaian kami anak beranak pada hari ketiga Syawal, kali ini di kampung saya di Tanjung Sepat, Banting, Selangor.



Baju yang saya pakai juga adalah hasil terbaru yang siap pertengahan Ramadhan.


Begitu juga baju suami. Pakaian anak-anak kami padankan daripada beberapa sumber termasuk seluar dan bengkung jahitan saya.





Bersama adik beradik saya dan keluarga mereka. Ini baru 1/3 kerana saya adalah anak ke-11 daripada 13 orang adik beradik. Abang sulung dah berumur 60an. Beberapa orang abang dan kakak sudah memiliki sejumlah cucu.



Gaya hari raya keempat, masih di Tanjung Sepat.


Untuk hari tersebut saya diilhamkan untuk membanyakkan warna kuning.



Mungkin kerana petang itu kami akan berziarah ke makam Sultan Abdul Samad, Sultan ke-4 Selangor. Walhal tak terfikir pun mahu ke sana. Suami yang mengajak memandangkan makam terletak tidak jauh dari laluan kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang, Untuk cerita-cerita yang lebih terperinci sila masuk blogspot utama suami, CATATAN SI MERAH SILU. Cerita telah diatur menurut hari seperti berikut :-







No comments:

Post a Comment