Monday, November 14, 2016

Sijil berkaitan bidang milik Bona Fida

Salam sejahtera wahai para pembaca yang dimuliakan sekalian. Hari ini saya mahu berkongsi satu perkara yang mungkin kelihatan berbangga diri. Tetapi atas sebab-sebab tertentu suami saya bertegas ia harus dilakukan. Sekurang-kurangnya supaya jelas duduk letak perkara lalu orang tidak lagi boleh mempertikaikan.


Pada hari Jumaat 1 Julai 2016 iaitu lebih 4 bulan lalu saya telah membuka blogspot ini lalu memaparkan artikel pertama bertajuk Bermulanya satu jenama. Sebelum itu saya sudah memiliki satu blogspot bernama Anggun untuk berkongsi minat tentang dunia kecantikan. Tetapi ia sudah lama tidak dikemaskinikan, sudah lebih 5 tahun terbiar. Pada sisi kanan blogspot itu,  di bawah tajuk About Me (tentang saya) ada terpapar maklumat ringkas seperti berikut :-


Mempunyai sijil dalam bidang kecantikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)Tahap 1/N-011-1, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)Tahap 2/N011-2, Sijil Pegawai Latihan Vokasional (VTO)



Blogspot itu dibuka pada pertengahan Julai tahun 2007. Apabila membuka blogspot memang setiap orang diminta memberikan maklumat ringkas sebagai pengenalan diri. Oleh kerana ia adalah blog tentang kecantikan dan saya memang memiliki sijil-sijil tersebut maklumat yang kelihatan pun diletakkan. Apabila blogspot Bona Fida dibuka, secara automatik maklumat yang sama muncul juga di sisi kanan blogspot di bawah ruangan About Me...



Hal blogspot baru dibuka itu dikongsikan dalam Facebook. Tiba-tiba ada orang menyerang mengatakan saya menipu kerana mengaku memiliki sijil-sijil tersebut. Paling dipersoalkannya adalah tentang sijil VTO (bahasa Inggeris untuk Vocational Training Officer). Katanya ia sijil paling tinggi dalam dunia kecantikan. Mana mungkin saya boleh memilikinya?

Saya difahamkan sijil VTO atau Pegawai Latihan Vokasyional seperti yang tertera di atas dianggap antara paling tinggi kalau tidak pun paling tinggi, Ia membolehkan seseorang itu mengajar tentang kecantikan secara bertauliah dan diakui kerajaan. Tetapi faham saya ia cuma boleh disamakan dengan diploma dari universiti sahaja, tidak lebih daripada itu. Sebaliknya orang yang menuduh saya menipu tentang sijil itu menganggapnya sebagai sudah sama taraf dengan profesor. Sebab itu dia susah hendak menerima hakikat saya memilikinya lalu menyerang bertalu-talu meminta saya 'mengaku kesalahan telah menipu'.



Sebetulnya saya sudah memiliki sijil-sijil kecantikan sejak tahun 2004 lagi. Sijil VTO itu diperolehi awal tahun 2007 lalu apabila membuka blogspot Anggun pertengahan Julai saya pun menyatakan pemilikan pada maklumat ringkas tentang diri. Sijil-sijil ini diperolehi setelah bertungkus lumus belajar mengikuti kelas demi kelas juga membuat kerja-kerja praktikal dan mengambil peperiksaan. Alhamdulillah saya bukan sahaja berjaya mendapat sijil VTO tersebut. Saya tersenarai sebagai antara pelajar paling cemerlang dengan nama saya diselitkan antara beberapa orang pengamal kecantikan bukan Melayu yang agak terkenal dalam bidang ini. Mereka malah memiliki akademi-akademi kecantikan sendiri!

Anda boleh menyemak kenyataan melalui senarai pencapaian dalam peperiksaan di atas. Cuma nombor kad pengenalan sahaja harus dipadamkan atas faktor keselamatan. Nama-nama, markah dan siapakah mereka boleh disemak melalui saluran berkenaan.



Disebabkan kerja penuh saya adalah dalam bidang telekomunikasi saya tidak dapat mengembangkan minat dalam dunia kecantikan. Sijil-sijil ini sudah lama terperap dalam stor, apabila dituduh menipu kelayakan iaitu setelah terbitnya blogspot ini baru saya mencari kembali ia sebagai bukti. Suami saya bertegas ia harus dimasukkan dalam blogspot supaya boleh dirujuk semua orang. Katanya bukan kita hendak menunjuk, cuma mahu mempertahankan diri daripada tuduhan yang bukan-bukan lagi dilakukan secara sewenang-wenang.

Dengan cara ini kebenaran boleh dibuktikan terus kepada sesiapa yang berfikiran adil bila-bila sahaja perlu. Setiap sijil ada nombor rujukan dan sebagainya, bukan boleh dibuat-buat secara semberono untuk ditipu-tipu, Ditambah lagi maklumat markah dan nama beberapa orang yang mengambil peperiksaan untuk sijil yang sama waktu itu. Biar orang tahu kita tidak pernah menipu. Biar orang tahu kita memang ada kelayakan.,.



No comments:

Post a Comment